Kebelakangan ini, ramai orang yang mengajak kepada pergerakan-pergerakan jemaah dan ramai sahaja yang mengatakan bahawa "wajib mengikuti jemaah" yang ada disesuatu tempat. Malah ada yang menyeru bahawa jikalau hendak berdakwah mestilah sentiasa berjemaah. Banyak daripada kalangan mereka yang menjadikan terma "al-Jama'ah" untuk menyeru orang lain untuk mengikuti sesuatu jemaah.
Bukanlah salah secara total jika kita menyeru orang untuk mengikuti jemaah tetapi sebahagian manusia pada masa kini telah digula-gulakan dengan mestinya kita mengikuti jemaah.
Pernah saya mendengar perkataan daripada sahabat saya yang pada satu ketika beliau berada dalam kalangan orang yang melakukan perkara yang jelas dilarang dalam agama dan apabila ditanya adakah dia cuba untuk menegur perbuatan mereka, sebaliknya dia menjawab, "Susahlah akh, aku seorang saja yang ada disitu. Kita kalau nak berdakwah atau nak tegur orang ni kena ramai-ramai (jemaah) baru senang sikit." Bukankah Rasulullah memulakan dakwah dengan berseorangan? Adakah Jemaah itu mesti dalam jumlah orang yang ramai?
al-Jama'ah bermaksud:
- Al-Jamaah juga (diistilahkan untuk) menunjukkan perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama. (مجموعة فتاوى Jld. 3. Hlm. 157.) (Lihat: Pengertian al-Jama'ah, Poin 1.(3))
- Golongan yang terbesar atau yang paling ramai(السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam. (H/R At-Tabari dalam "Al-Kabir" (1/320). (Lihat: Pengertian al-Jama'ah, Poin 2.)
al-Jama'ah juga dapat diertikan sebagai setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam walaupun seorang diri sebagaimana athar sahih di bawah ini:
"Al-Jamaah: Iaitu (sesiapa yang amal dan akidahnya mengikuti aku atau persis) serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku (sesiapa yang sepertiku dan para sahabatku)." (تحفة الاحوذى(7/399-340). Berkata Turmizi: Hadis ini hasan dan gharib. سلسلة الاحاديث الصحيحة No. 203 atau 1192. Syeikh Al Albani.)
"Al-Jamaah (berjamaah) atau (yang dikatakan berada dalam jamaah) ialah apabila (engkau) mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan)." (Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدعHlm. 22. Abu Syamah.) (Lihat: Pengertian al-Jama'ah, Poin 6.)
Sekalipun berada seorang diri, dimana sahaja pun, walau kita berpegang teguh dengan aqidah ahlus Sunnah wal Jamaah serta manhaj as-Salaf as-Soleh, jelas kita berada diatas jalan yang benar. Itulah yang dimaksudkan dengan al-Jama'ah. Bukan sahaja al-Jama'ah itu dimaksudkan dengan ramainya orang, tetapi pegangan seseorang terhadap prinsip-prinsip ahlus-Sunnah.
Penilaian maksud yang paling tepat tentang Jama'ah ini adalah merujuk kepada kelompok Salaf yakni golongan yang terdiri daripada para Sahabat, Tabi'in dan Tabi'ut tabi'iin serta mereka yang tetap tegar berpegang dengan prinsip-prinsip al-Quran dan as-Sunnah. (Lihat: Pengertian al-Jama'ah, Poin 6. Rangkap akhir) Sesiapa yang mengikuti (ittiba') manhaj para sahabat dengan baik pasti digolongkan sebagai al-Jama'ah.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 147:
"Kebenaran itu adalah dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu."
Wallahuata'alaalam.
Rujukan (juga cadangan artikel untuk dibaca):